Celoteh

Teratak Manis Baizura

Khamis, 30 April 2015

Bunga Buttercream Pink & Purple


Assalamualaikum..

 



Koleksi munge-munge Bai kali ini adalah dari buttercream juga, ade bunga ribbon , ranuculuos dan ros kubis..bunga kekwa tu tak berapa nak menjadi..hehe..next time nak cuba lagi sampai jaya.. tangan ni masih keras lagi..huhu..

 
nilah keknya..

Kek Pelangi Cinta


ASSALAMUALAIKUM…

 

         Pagi ni cuaca sejuk dan nyaman. Hujan turun lewat pagi hingga ke subuh. Tidur pun tak berapa nak jerap sangat. Mungkin agak keletihan kerana sehari sebelum tu Bai ke PWTC Kuala Lumpur menghadiri lawatan Pameran Pesta Buku Antarabangsa 2015. Banyak jugalah buku-buku yang Bai beli hampir RM300 berbelanja tak sedar. Bai ade beli sebuah AlQuran dan terjemahan berbentuk diari, mudah dibawa ke mana-mana, buku tentang penjagaan kucing, buku bonsai dan buku-buku novel remaja dan buku cerita kanak-kanak untuk anak-anak Bai.

         Sampai rumah dah senja, mandi dan solat , terus buat kek pelangi untuk tempahan Anis. Dah lama Anis tempah untuk hari istimewa ulangtahun perkahwinannya yang ke 10. Bukan apa, kek boleh siapkan dulu, simpan dalam fridge, topping dan deko boleh dibuat keesokan hari selepas balik kerja.

         Makanya, hari inilah Bai akan bekerja keras menyiapkan kek tu. Selesai semua hampir jam 1.00 pagi. Dah jadi hari lain dah hari ni…jadi lewatlah Bai dapt update entri kali ini. Bila siap, Bai baru dapat buka telefon pintar dan terbaca whatsapp dari Anis yang menyatakan kemungkinan dia tak dapat ambil kek petang ini kerana dia diwadkan di Hospital KPJ Ipoh petang semalam akibat sakit dalam perut. Terkejutlah juga, pagi semalam di pejabat ceria saja dia..bila petang, balik kerja terus ke klinik kerana tak tahan sakit. Itulah ye..takdir dan ketentuan Allah swt memang tak dapat dijangka akal manusia. Apapun Bai doakan Anis segera sembuh dan ceria seperti selalu. Katanya kek tu nanti akan diambil oleh suaminya sebab Anis nak hadiahkan kek tu kepada suaminya yang tercinta dan lagi pula, dia betul-betul teringin nak makan kek pelangi tu..
 
 
         Kek yang Anis tempah tu kek pelangi saiz 8 inci tapi sengaja Bai buatkan saiz 9 inci untuk rendahkan sikit kek untuk mudah dikotakkan. Dia nak keknya tu disalut dengan krim keju dan bunga-bunga berwarna pink dan ungu..bila Tanya nak tulis apa..malu-malu pulak dia..hehe..akhirnya akaaakk jugak yang reka ayatnya tu..hehe

         Jom nengok kek Anis ni..
 
 
Happy Anniversary yang ke 10 buat kalian berdua..moga bahagia hingga ke Syurga..♥
 
 
Terima Kasih kerana sudi menempah kat KakBai..
 

        

 



        

 

Ahad, 26 April 2015

BUNGA ROS BUTTERCREAM PUTIH


ASSALAMUALAIKUM

 

          Koleksi bunga ros buttercream Bai kali ini warna putih. Sikit je kuntuman ros yang diminta. Bimbang tak cantik tapi bila dah buat dan siap..alhamdulillah..agak comel juga..hehe..naik lift tekan sendiri Nampak !! hehehe…syukurlah dan lega bila customer whatsapp kata cantik dan sedap hingga licin kek dan krimnya..Jom nengok koleksi bunga kali ini..




Simple je kan.. kan..


Sabtu, 25 April 2015

CREAMPUFF SEDAP


ASSALAMUALAIKUM

 

         Hujung minggu ni Bai terima tempahan 50 biji Creampuff..lama tak mengepuff..teringat kata-kata kak Azlita Aziz, kalau tak dicuba selalu, mana nak dapatkan penambahbaikan. Bukan apa, dalam masa yang sama,Bai juga terima tempahan sebiji kek. Orang yang menempah ni nakkan kek yang agak unik pulak..nak kek semua putih..huhu..satu cabaran jugak ye..

 
         Kita sebagai Bakers, kenalah kreatif dan harus memikirkan kehendak dan kepuasan pelanggan..memang tak dapat dinafikan , setiap kali Bai terima tempahan kek, Bai sentiasa berdebar-debar. Tak tahulah kalau bakers yang lain pun rasa macam tu atau tidak. Bai terasa beratnya memikul harapan orang. Bismillah ni dah tak tau berapa ratus kali..berkumat kamit berdoa agar menjadi dan sedap..hehe
 
 
 
         Creampuff ni Bai buat sambil menunggu kek sejuk. Resepi yang Bai gunakan adalah daripada Resepi Yani. Krim Kastadnya Bai ambil dari Honey…Namun macam biasa kak Azlita lah juga yang menjadi beloved sifu..macam-macam petua dan tips daripada kak Ita..

         Creampuff ni memang sedap di makan sejuk-sejuk..
 



Terima kasih kepada yang menempah..♥♥♥

        

 

 

Jumaat, 24 April 2015

KEK INDULGENCE VANILLA


ASSALAMUALAIKUM

 

         Hujung minggu ni Bai terima tempahan daripada BAKAT  dari TUDM Ipoh. Tempahan ni nakkan kek yang serba putih, dari dalam sampailah ke luar kek kena putih dan nak deko yang simple-simple je cuma tulis “ Selamat Maju Jaya Semua “..alamat kering sekejap idea..kek warna putih, boleh jadi kek butter..ohh tak mau kek butter pulak..hmm..kek span vanilla jela , lapis dengan mousse coklat putih dan salut dengan buttercream.. Lepas Magrib, Bai sambung semula kerja-kerja tadi..

         Bila dah siap, kek Span Vanilla saiz 8 inci disejukkan sebentar sementara tu Bai siapkan creampuff 50 biji..renyah jugalah nak membuatnya. Krim kastad di buat terlebih awal untuk sejukkan dalam fridge. Adunan resepi tu Bai kena gandakan 5 kali untuk dapatkan creampuff sebanyak 50 biji..fuhh..sakit bahu memutar adunan dalam periuk.

         Bila kek dah sejuk, sambil menunggu creampuff masak, Bai lapiskan kek dengan mousse coklat putih yang Bai dah siapkan petang tadi selepas balik dari kerja. Lepas tu Bai simpan dalam fridge untuk keraskan kek supaya senang dilepa dengan buttercream.

         Sambil tu, Bai bancuh buttercream dan siapkan creampuff.. tempahan  kek dan creampuff ni akan diambil pagi-pagi esok jam 7.30..tu yang Bai ligat macam lipas kudung..bila dah siapkan lepaan kek dan tulisan..Bai tengok macam ada yang tak kena dengan hiasan kek..nampak kosong sangat..bila Bai tanya pendapat suami, dia kata buatlah bunga-bunga sikit, jadi taklah nampak janggal..hmm..pukul 2 pagi baru selesai semua selepas simpankan semua dalam fridge…lepas tu dapatlah Bai rehat sekejap sebelum bangun subuh dan tunggu orang ambil tempahan dan sediakan sarapan pagi.
 
 

         Hari cuti ni biasanya anak-anak bangun lewat sikit..suami ajak ke kedai mamak, nak makan roti canai..lega sikit, agaknya suami kesian nengok Bai yang tak berhenti dari balik kerja petang semalam hinggalah pagi tadi..balik nanti Bai Cuma cuci dan bersihkan bekas-bekas dan alatan yang bai gunakan untuk kek dan creampuff... petang lepas zohor, sambung tidur lagi..huhuhu..jom tengok resepi Bai di bawah ni..


 

KEK INDULGENCE VANILLA

Mula-mula sediakan kek span vanilla 8 inci dahulu.

Kek Span Vanilla

Bahan
4 biji telur gred A
180 gm gula halus
170 gm tepung kek
70 ml air
5 gm baking powder ( 1 sudu teh)
15 gm ovellete
50 gm minyak jagung
1 sudu teh esen vanilla ~ cari yang oil base


Cara-cara
Mula-mula tepung kek dan baking powder disatukan kemudian di ayak. Kalau rajin ayak 3 X kalau rasa macam nak cepat sekali pun ok!

Masukkan semua bahan ke dalam mesin pemutar kecuali minyak jagung. Kemudian putar dengan speed perlahan dulu.
Bila nampak dah bersatu, tukar speed laju dan putar hingga ringan dan gebu.
Jangan putar lama sangat.. sampai gebu aje.. kalau lama nanti lepas bakar kek turun. Bila dah gebu, tutup mixer.
Tuangkan minyak dan kaup balik dengan spatula je.. hingga rata. Jangan lama-lama tau kaup balik.. sampai minyak rata je..


Kemudian tuang di dalam loyang  8 inci yang dah dilapik dengan kertas kek dan kita dah sapukan butter sekelilingnya.
Bakar di dalam ketuhar yang kita dah panaskan 15 minit awal pada suhu 170C menggunakan api atas dan bawah. Bakar selama 30 ~ 35 minit @ sampai masak.
 
Sementara menunggu kek sejuk untuk di potong 3 lapis..kita buat krim mousse coklat putih ..

Mousse Coklat Putih

Bahan

100 gm coklat masakan putih                    
 250 gm non dairy whipping cream          
 100 gm gula icing                               
150 gm butter ANCHOR ( salted )                  
2 biji kuning telur (dikacau rata)

                                          
Putar whipping hingga kental.ketepikan dulu.

Cairkan coklat masakan putih  .

Putar butter dan gula icing hingga kembang, lepas tu masukkan coklat cair dan kuning telur.

Satukan bahan butter dan whipping cream dengan kaedah kaup balik. Bahagikan kepada 2 bahagian untuk lapisan di dalam kek..

Krim ni boleh digunakan terus tanpa sejukkan dulu dalam fridge.

 
Buttercream

 150gm shortening
200gm krimwell
50gm butter
250gm gula aising (diayak dulu)
2 sudu besar susu pekat
Pewarna

 Campurkan shortening, krimwell, butter dan gula aising dalam satu bekas dan mixer hingga gebu dan ringan. Campurkan susu pekat. Putar sebati dan letakkan pewarna yang disukai..
 
 
CARA MELAPIS KEK
 kek di atas kek board
 lapisan mousse puith
 kek
 lapisan mousse putih
 kek
 
Akhir sekali salut keseluruhan kek dengan lebihan mousse  putih. 
Sejukkan kek di dalam peti sejuk beberapa jam. sebelum disalut dengan buttercream.
 
 
Selamat mencuba dan berkongsilah dengan Bai di ruangan komen..
 

 

 

 

Ahad, 19 April 2015

Kek Pandan Layer

Assalamualaikum...
 
          Entri ini adalah tentang Kek Pandan Layer yang ditempah oleh jiran Bai untuk kek harijadi anaknya baru-baru ini. Mulanya Bai agak keberatan nak menerima tempahan tu..nak membuatnya tu bila disemak prosesnya amat rumit. Bai tengok resepi dari dapur Che Mat Gebu..fuhh..boleh ke Bai buat...
 
           Sebelum tu Bai dah terangkan kepada jiran ni yang Bai belum pernah buat kek ni. Oleh kerana jiran Bai iaitu Fizah ni teringin sangat nak makan kek ni, dia sanggup terima kekurangan dan siap whatsapp lagi nak letak gambar princess frozen..berdebar jugalah nak membuatnya..
 
 
          Kejadiannya tidaklah begitu cantik dan licin kerana adunan kastad tidak betul-betul masuk di celah-celah kek pandan tu walaupun dah goyang dan hentak-hentak manja Loyang tu..dua kali Bai bikin kek ni kerana yang pertama tu adunan kastadnya terkurang..entah dimana silapnya. Mulanya tu Bai bakar kek span pandan dalam Loyang 8 inci pastu nak letak kastad, Bai gunakan Loyang saiz 9 inci..Nampak tak begitu jauh beza sangat..mungkin itulah sebabnya kastad Bai tak mencukupi untuk salutkan ketiga-tiga lapis kek tu...pengalaman mengajar kitakan..Bai masakkan sedikit lagi adunan kastad untuk yang terkurang tu dan tuang atas lapisan yang dah sejuk...mana mau bercantumkan..adus..masa Bai terbalikkan kek yang dah disejukkan dalam fridge selama 1 jam tu..kek yang Bai buat mula-mula tu nampak cantik dah dan kastad tu pegang dua lapis kek dengan elok..tapi sayangnya lapisan ketiga yang Bai buat selepas tu memang tak boleh melekat dan ia berkecai...
 
        Terbuntang mata Bai melihat kecaian kastad yang menyalut kek tu..berkecai seperti hati Bai..Namun Bai masih bersemangat lagi nak buat bila teringatkan Fizah yang teringin sangat nak makan. Kata orang tak baik kalau kita tak cuba penuhi harapan dan keinginan orang kan...secepat yang mungkin, Bai selamatkan kek span pandan tu dengan hati-hati dan Bai masakkan adunan kastad semula mengikut resepi kak Azlita Aziz. Kali ini Bai gunakan Loyang saiz 8 inci semula..Alhamdulillah adunan kastad memang cukup..
 

       Berkumat kamit mulut Bai berdoa agar kek kali ini menjadi dengan cantik dan dapat penuhi impian si Fizah..namun, kek jenis ni rupanya tak boleh letakkan edible image frozen awal-awal kerana kelembapan yang tinggi..gambar menjadi sedikit pudar kerana menyerap air.hmm..memang tak puas hati nak serahkan pada orang dengan kek serba kekurangan ni...dengan berat hati, Bai serahkan jua dengan potongan harga..lega Bai bila suami Fizah yang ambil kek ni tak cerewet, bila Bai terangkan kekurangan kek ni..katanya tak apa kak Bai, janji ada kek untuk rai hari jadi anaknya tu..maaflah dipinta, harga pun dikurangkan..huhu
 
 
 
         Lebih lega lagi bila Fizah whatsapp petang tu maklumkan kek tu sedap sangat hingga menjilat jari dan nak repeat order lagi untuk majlis hari jadi anaknya yang sulung pula dan anniversary mereka tak lama lagi...Alhamdulillah..rezeki Allah tak siapa yang dapat meneka..kecacatan itu sedikitpun tidak memberi kesan apabila 'rasa' mengatasinya...apapun kegagalan hari ini mengajar kita erti sabar dan kental. Niat kena ikhlas dan bertawakal kepadaNya..

Sabtu, 18 April 2015

KEK MARBLE COKLAT PISANG


Assalamualaikum..

 
       Mengenangkan Bai ni kerja tak berhujung minggu dah tiga minggu berturut-turut ni menyebabkan hati memberontak…keinginan nak memanjakan diri meluap-luap dah…so, Bai sambung cuti pada hari Isnin, hari inilah…Kerja Bai ni ialah mengadakan kursus-kursus keusahawanan..memang hari cuti baru belia dan orang di luar sana dapat hadirkan diri mengikuti kursus-kursus APBM Batu Gajah..

      Hati ni berbunga riang…rasa nak lepak di rumah sambil mencuba resepi yang tertangguh. Asalnya nak beli pisang yang dibuat gorengan..rezeki tak ada agaknya, asyik jumpa pisang emas dan pisang rastali je kat pasar malam hari jumaat haritu...hmm..Bai pun beli jelah pisang emas untuk buat cucur jemput..hmm nak buat macam mana, pisang goreng dah jadi cucur jemput..hahaha..
 


     Tiba-tiba jer terkenang Kek Marble Coklat Pisang kak Azlita Aziz tu..menawan hati..alang-alang memang ada pisang emas masak ranum tu kan, cucur jemput pisang buat minum petang semalam dah selesai.. yang selebihnya tu apalagi..bahan dah cukup, bolehlah buat eksperimen.

   Bai tak bimbang nak buat lebih bukan apa, jiran ramai sekeliling..boleh diagih-agihkan untuk mereka...rezeki bersama..dibuat kudapan minum petang atau juadah berbuka puasa ke..maklumlah, minggu ni ramai juga yang menggantikan puasa..

Jomlah tengok hasil eksperimen Bai…

 
 
 

      Bai menggunakan resepi dari dapur Masam Manis Kak Azlita yang memang awesome.
 


 

Kek  Marble Coklat Pisang
by: Baizura
ruj: Azlita Aziz

 Bahan A
 250g tepung kek
1st baking powder
200g gula castor
6 biji telur
1 sb ovellette
2 sb susu pekat manis
50 g fresh milk atau susu cair
 

Bahan B
250 g pisang dilecek
90 g minyak
 1 sb choc emulco
1 sk esen pisang
 
cara-cara :

Lenser loyang berukuran 9 x 9 inc dgn butter dan alaskan tapaknya dgn kertas minyak. Panaskan oven 170C.
 
Lenyek atau kisar pisang dan esen pisang hingga halus. Ketepikan. 

 Satukan semua bahan A dalam mixer .….dan pukul dgn kelajuan max hingga adunan pekat dan gebu.

Masukkan pisang dan putar lagi dgn kelajuan perlahan hingga semuanyer sebati.

Masukkan minyak dan gaul dgn spatula hingga adunan rata dan sebati.

Bahagikan adunan kepada 2 bahagian. 1 bahagian diletakkan choc emulco dan 1 lagi bahagian dibiarkan pada warna asal. Tuang dalam loyang berselang seli.

Kemudian bakar pada suhu 170 C selama 1 jam atau sehingga masak.


      Kek Marble Coklat Pisang ni makan panas-panas pun sedap dengan Nescafe panas..fuhh….tak terkata nikmatnye…apapun kek ni kalau dibiarkan semalaman lagi lembut dan sedap..tapiii..sanggup ke tunggu lama-lama..hehe..

Sabtu, 11 April 2015

Kek Hari Jadi Ayong Ke 13






ASSALAMUALAIKUM

 Selamat Hari Jadi…Selamat Hari Jadi…Selamat Hari Jadi Ayong…Selamat Hari Jadi♥♥
 
 

         Mama doakan moga Nur Aishah menjadi anak yang solehah, bijak dalam pelajaran , baik akhlaknya dan sentiasa diberkati Allah sepanjang kehidupan serta dimurahkan rezeki..aminn..

         Macam biasalah anak-anak ni tau mama dia pandai buat kek, sentiasa menjadi permintaan nak kek hari jadi.. in shaa Allah.. ada masa,rezeki dan kesihatan yang baik, Bai tak akan menghampakan hati anak-anak..

         Kek Hari Jadi Ayong kali ini masih juga sama..nak kek coklat moist juga nak makan-makan je katanya, bukan nak sambut di sekolah ..ntahlah kenapa pe’elnya lain sejak-sejak naik tingkatan satu ni..kalau dulu, sentiasa mencari ruang nak potong kek di sekolah dan makan sama-sama dengan guru dan kawan-kawan sekelas. Sekarang ni nak sambut dengan mama, abah dan adik je.
 

         Nilah hasilnya bila dalam masa yang sama Bai harus bertugas menyelaras satu kursus di tempat kerja. Penat macam mana pun tetap nak buat kek untuk anak-anak. Puas hati bila dah dapat tunaikan permintaan di hari istimewa anak-anak.

        
         Kek tak berapa smooth sebab terlalu mengantuk dan nak buat cepat-cepat kerana awal pagi esoknya Bai perlu menghadiri satu seminar di Ipoh. Namun, Bai buat dengan penuh rasa kasih sayang.

         Kek Coklat Moist 10 inci ni Bai suka salutkan dengan coklat ganache resepi Chef Amer. Coklat Ganache ni sangat sedap dan lemak berkrim. Semua tempahan Kek Coklat Moist, Bai memang gunakan resepi ini.

Ganache Coklat
Oleh: Chef Amer Hamzah

Bahan


300 gm krim tenusu

30 gm sirap glukos

500 gm coklat gelap ~ hiris halus

Didihkan krim dan sirap glukos. Tuangkan dalam bekas yang berisi coklat gelap. Kacau rata hingga coklat larut sepenuhnya. Pastikan tiada ketulan coklat.

 Tunggu ganache sejuk ke suhu bilik, baru boleh tuangkan ke atas kek yang telah sejuk.
 

         
 
         Bai gunakan resepi Kek Coklat Moist ni  sejak zaman anak dara lagi. Resepi ni diberikan olah kawan serumah semasa Bai bekerja di Klang Lama dulu..Alhamdulillah masih menggunakan resepi yang sama hingga kini..

Rabu, 1 April 2015

Bunga Ros Buttercream Merah Putih


ASSALAMUALAIKUM…

 

        Kali ni koleksi bunga ros buttercream warna merah putih…kononnye seksilah sangaaatt..hehehe…