Celoteh

Teratak Manis Baizura

Isnin, 29 Februari 2016

Aiskrim Sumi Jelly

Assalamualaikum,


Cuti hujung minggu tempohari ada projek bikin aiskrim sumi jeli yang telah menjadi viral di FB. sebenarnya Bai yang teruja sangat bila tengok wall FB masakan. Anak-anak tak tahu ..hinggalah bila dah siap bahan-bahannya, baru teruja tak sabar nak makan aiskrim sumi jeli.
 
Bahan-bahannya taklah banyak dan mahal. Senang je nak buatnya, cuma kena ada kerajinan baru menjadi. Banyak jugaklah yang dapat dengan bancuhannya. Lebih kurang dalam 30 batang. Di sini Bai nak tepek resepi Aiskrim Sumi Jeli ni. Sesiapa yang berminat nak buat, bolehlah cuba resepinya ni.
 
 
AISKRIM SUMI JELLY
 
Bahan
 
1 tin susu pekat
1 tin susu sejat/cair
4 tin air
secubit garam
gula secukup rasa
sumi jeli 3 paket
 
Cara membuatnya:
 
Masak susu pekat, dan susu sejat bersama gula, garam dan air hingga mendidih. Sejukkan sebentar.
 
 
Potong sumi jeli 4 bahagian dan masukkan dalam plastik aiskrim bila dah siap potong.
Tuang bancuhan susu tadi dan ikat kemas .Bekukan semalaman.
 
 
*tips..kot susah nak tuangkan bancuhan dan jeli ke dalam plastik aiskrim boleh gunakan pembalut sumi jeli, potong bahagian bawahnya dan jadilah corong untuk mudahkan jeli dan bancuhan susu masuk kedalam plastik, takde tumpah-tumpah..huhu
 
Selamat mencuba!.


 
 

Selasa, 16 Februari 2016

Buttercream Lemak Berkrim


Assalamualaikum..

 

        Hari ni Bai nak kongsikan sejenis krim lepaan pada kek. Lepaan ini biasanya bermacam-macam jenis mengikut kesesuaian orang yang menggunakannya. Bai akui, sebenarnya Bai memang masih tercari-cari  resepi krim butter untuk lepaan kek yang Bai rasakan terbaik.

        Baru-baru ini Bai ada mencuba resepi buttercream kak Azlita untuk kek tempahan Bai. Sebelum ini, Bai hanya menyimpan sahaja resepinya kerana Bai selalu menggunakan resepi sifu Bai.

        Jadi di sini Bai tahulah krim ini bagaimana, sama ada ia sesuai dengan cuaca rumah Bai dan juga penggunaannya terhadap kek. Bau krim ini sangat sedap kerana ada ramuan susu pekat dan butter. Bai gunakan jenama buttercup. Kalau nak lagi sedap, kena beli yang lebih mahallah.
 
  

        Resepi ini cukup untuk lepaan sebiji kek saiz 9-10 inci termasuk krim lapisan kek dan hiasan sekeliling kek seperti corak tali, cengkerang, untaian manik, tulisan, renda dan sebagainya. Jika nak buat untuk dua tiga biji kek, bolehlah gandakan sukatannya. Kebetulan Bai Cuma buat kek yang agak kecil iaitu dalam 8 inci, jadi ada lebih banyak krimnya. Nak buang sayang. Nak simpan, bilalah pulak nak guna. Semestinya, kualiti krim yang disimpan dalam peti ais pasti susut. Tak segar..

         Jadi Bai tambah gula aising dalam adunan baki krim bagi ia jadi sedikit keras untuk buat bunga. Kalau nak ikut, resepi ni sangat tidak sesuai untuk buat bunga kerana ia agak lembik sedikit. Jadi Bai ada buat sedikit perubahan. Jangan marah kak Ita..hihi
 
 

         Maklumbalas yang Bai terima daripada customer sangat baik..alhamdulillah. Jadi terpulanglah kepada diri masing-masing sama ada nak gunakan krim ini untuk buat bunga selain lepaan untuk  kek masing-masing. Nanti Bai akan kongsikan resepi sifu Bai yang kebanyakkannya, Bai gunakan untuk buat bunga krim.

 Resepi Buttercream

60gm butter
85 gm susu pekat manis
1 sudu besar golden syrup
165 gm gula icing
1 sudu teh esen vanilla atau perasa yang tidak berwarna

Masukkan ke semuanya dalam mixer dan pukul dengan speed perlahan hingga semua sebati dan bergaul sempurna

200 gm shortening
300 gm krimwell



Campurkan shortening dan krimwell dalam adunan butter tadi dan pukul speed sederhana sebentar sahaja. Jangan pukul lama-lama nanti krim lembik.
 
K.Bye..
 
 


Isnin, 15 Februari 2016

Kek Marble Tempahan


Assalamualaikum,



        Beberapa hari yang lalu, kawan sekolah Aishah ada menempah kek marble melalui fb untuk jamuan hari jadi di sekolah..dia nak pada hari isnin buka sekolah selepas bercuti raya cina. Kawannya tu minta supaya salutkan kek dengan buttercream.
 



          Bai pun tiada masalah nak buat cuma stok shortening dan krimwell dah tinggal sikit. Lama Bai tak membeli di Ipoh untuk stok bakeri di rumah, jadi kiranya ni penghabisan stoklah nampaknya..huhu
 
 
 
           Alhamdulillah, keknya menjadi dengan baik dan cantik, semasa Bai belah kek kepada 2 bahagian, kek sangat gebu dan harum. Coraknya pun cantik.


 
 
            Bolehlah tengok gambar kek marblenya. resepinya ada di entri yang lepas. Jika teringin nak buat Bai sharekan dalam entri tersebut.
 
 
 
 
untuk tempahan sila hubungi 012-5980060
 
 
 
 


    

Selasa, 9 Februari 2016

DONAT COMEL


Assalamualaikum..

 

        Petang Ahad selepas makan tengahari, Bai buat donat comel untuk makan-makan. Bai buat dalam 1 kg tepung sebab cadangnya nak simpan buat frozen sama. Mana tau ada yang datang bertandang, ada jugalah kuih-kuih segera penyelamat keadaan..dapat jugalah Bai hantar kepada jiran-jiran buat minum petang.

        Bila goreng, donat ni memang harum satu rumah. Pulak tu, perut tengah lapar ..hihi..hidangkan bersama teh o dan nescafe panas..hmm..
        Resepi donat ni Bai pernah kongsikan pada entri yang lepas. Namun jika ada yang mencubanya bolehlah tengok resepinya ni. Kalau buat, memang tak rugi. Donat ni sangat lembut dan gebu walaupun dah sejuk.
 
DONAT GEBU
By : Baizura

 
Bahan-bahan ( 1 kg tepung)
1 kg tepung berprotein tinggi/tepung gandum biasa
 
2 peket yis segera- 11gram
100g marjerin/mentega
2 sudu besar (penuh) shortening
4 sudu besar (penuh) gula pasir
4 sudu besar susu pekat/2 sudu besar susu tepung
2 biji Telur
1 sudu kecil garam
380ml-400ml air suam suam kuku (bergantung pd kualiti tepung- saya guna 400ml)
Gula Halus atau topping kegemaran anda
Cara-cara
 Di dalam bekas yang agak besar, tuangkan air suam. Masukkan yis segera, gula pasir, susu, marjerin dan shortening. Kacau sedikit dan biarkan selama 8-10 minit.

 
Setelah yis mula berbuih, ayakkan separuh dari tepung gandum terus ke dalam adunan. Masukkan pula telur yang dipukul sedikit dan juga garam.
Kacau adunan sehingga sebati dan melekat pada sudu (bila dah sebati tu dikacau satu arah je menggunakan sudu). Bai gunakan mixer bercangkuk.
Ayak lagi tepung selebihnya, gaul menggunakan mixer bercangkuk .- tak perlu habiskan tepung tu kalau adunan sudah boleh diuli.
Uli dengan tangan sehingga doh sebati dan tidak lekat di tangan (sisa sisa tepung kat dlm bekas tu semua bersih). Doh dah siap
Doh tidak perlu direhatkan, (kalau nak rehatkan pun boleh gak selama 5-10min) boleh terus sahaja dicanai setebal setengah inci (agak2 je). Boleh tambah sedikit2 tepung jika adunan agak lembik ketika ini.
 
 
Terap doh mengikut acuan donut atau bentuk kesukaan anda. Doh akan mula mengembang dan ringan sementara minyak dipanaskan dengan api perlahan.
 
 

         Bai goreng dua versi. Versi untuk dimakan segera hendaklah goreng hingga warna keemasan.Kemudian  dihiaskan dengan hiasan yang disukai. Bai gaul dengan gula kastor je bila donat dah sejuk.   
 
 
         Yang versi berwarna cerah Bai goreng sekejap saja, untuk difrozenkan. Tujuan Bai goreng layang adalah untuk menghentikan pengembangan donat. Donat yang dibekukan ini tahan sehingga 3  bulan. Itupun kalau boleh tahan tengoklah..haha..kat rumah Bai, tak sempat seminggu pun..
 
        Donat yang digoreng sekejap ni Bai susunkan dalam plastik kedap udara untuk makanan dan letakkan di ruang sejuk beku dalam fridge. Nanti Bila nak goreng kembali, keluarkan sekejap untuk nyahbeku, dalam 15 minit gitu, gorenglah dengan api sederhana dan hiaslah dengan hiasan yang disukai..
Tip:
donat yang telah diterapkan tu letakkan di atas dulang yang telah diisapu minyak. Ini adalah untuk elakkan donat melekat bila kita nak angkat untuk gorengkannya.
Ok..selamat makan donat..

 

 

 
 

 

Isnin, 8 Februari 2016

Coretan di Hari Raya Cina 2016


Assalamualaikum..

 

        Lama juga cuti raya cina..4 hari. Cuti sekolah seminggu!!  Bai sekeluarga ada menerima beberapa undangan majlis kenduri kahwin ...di Jitra, Kedah..pergi dengan kenderaan jabatan ( kelab kebajikan jabatan) pada hari Sabtu.. dan Ahad di sekitar Ipoh dan Sitiawan..tapi Bai sekeluarga pergi yang di Sitiawan.. isnin dan selasa tiada apa-apa plan nak ke mana-mana bak kata kawan sepejabat..jangan nak menambah kesesakan atas jalanraya pulak cuti raya cina ni..hihi..lawak tu lawak la jugak..tapi ada betul juga tu.. tak sanggup akak..!

        Alhamdulillah..masa pergi kenduri anak encik Zakaria Kasa ( bos lama di IKBN Kuala Perlis dan APBM BG) di Jitra tu belum lagi menempuh kesesakan jalanraya yang teruk..dari Ipoh ke Jitra kenderaan memang bertali arus, bergerak perlahan 80-90km/jam.. Bai, Puan Puziah (timbalan pengarah), Encik Roselan dan isteri serta Encik Adam dan isteri..bertolak awal pagi dan sampai jam 12.30 tengahari..memang time lunch..haha..seronok dapat jumpa kawan-kawan dan bos-bos lama Bai dulu di majlis kenduri ni..
Azlina TP di IKBN Jitra, Pn Puziah TP APBMBG, En.Roselan
dan En Sharif Alias  ( Mantan Ketua Bhg.Latihan APBM)


        Hari Sabtu Bai sekeluarga ke Lekir, Sitiawan kenduri adik Mat Ja’e kawan baik suamiku. Fuhh..sedap betul lauk rendang dagingnya..siap ada bekal lauk untuk dibawa pulang lagi huhuhu..
 
Ja'e dan isterinya
 
       Hari Isnin dan esoknya Selasa Bai sekeluarga tak ke mana-mana. Rasa malas sungguh nak keluar ke atas jalanraya dengan duit pun dah tak berapa nak nampak warnanya..haha
 
       Orang cina sibuk beraya, orang kita meriah dengan kenduri kahwin..apapun jalanraya memang merenyut dengan kereta-kereta besar dan dari Singapura..huhu..
 
Selamat bercuti..

Rabu, 3 Februari 2016

Kek Coklat Lembab Bakar

Assalamualaikum


 
 
        Bai rasa sejak akhir-akhir ni ramai sungguh peminat kek coklat lembab . Bai pun macam dah takde benda lain lagi nak update blog ni. huhu
 
 
Kek Coklat Lembab Yang di Bakar saiz 6 inci diameter
 
        Semalam, anak Bai si Aishah bagitau yang kawan-kawannya ada nak tempah sebiji kek coklat moist untuk birthday girl kelasnya. Nak beli di luar tak mampu kumpul duit yang banyak. Maklumlah budak sekolah. ishh..kesian pulak dengar. Mau tak mau Bai iakan saja harapan mereka. Buat yang kecil saja katanya nak bagi surprise je, bukan nak bagi makan satu kelas. ok.. ok..mama dah faham ok..
 
 
 
 
       Inilah kejadiannya, bila geng bas sekolah dah nak tempah kek..hihi..ok selamat makan kek! jangan lupa tempah kat aunty lagi kalau sedap ye..
 
 
 
 
Nak tempah lagi konteks la 012-5980060..k bye..


 


Isnin, 1 Februari 2016

KEK OREN LAGI..


Assalamualaikum,

 

Cuti hujung minggu yang lepas Bai sekeluarga berkelah ke Ulu Chepor,Perak. Mandi manda sungai yang dingin airnya. Duk rumah rasa panas rasanya. Musim timur kata orang-orang tua. Angin panas, cahaya mentari terik sekali. Perjalanan dari rumah ke sana dalam 45 minit. Ramai juga orang berkelah di situ.. Cuti Thaipusam lah katakan..

Cuti minggu ni, tak ke mana-mana. Bai buat tempahan kek coklat moist untuk jualan sekolah je dan sebiji kek oren poppy seed permintaan suami. Nak minum petang sambil minum teh o panas bisiknya. Dia pun asyik dengan pokok bonsainya. Suami Bai ni memang minat dengan seni bonsai. Nanti bila-bila Bai lapang, bolehlah Bai cerita pasal pokok bonsai pulak dalam entri yang lain.
 

Jadi Bai saja nak ulang tayang je kek oren poppy seed yang bai buat. Resepinya ada pada entri yang lepas. Nanti tengoklah kalau teringin nak buat ye.


SEKALI NGAP TAK BOLEH BERHENTI..


GEBU KEJADIANNYA..

YANG NI CAWAN BAI..AIR NESCAFE PANAS..HIHI