Celoteh

Teratak Manis Baizura

Isnin, 28 September 2015

Hari Raya Aidil Adha


Assalamualaikum..

 

        Hari raya AidilAdha yang kedua…anak-anak teruja dah nak ke Cameron Highland. Walaupun masih dalam ‘mood’ raya, cuti sekolah pulak semakin nak ke penghujung. Bai sekeluarga raya di Perak saja kali ini bila mak dan adik-adik nak ke Terengganu, rumah adik bongsu Bai ada buat aqiqah anaknya si Muhammad Firash Hakimi.
 
Rendang PokPek Mak


        Bukan sengaja tak nak pergi bersama-sama Mak dan adik-adik yang lain, tapi hati dah takdak nak beraya bila tak pulang ke kampung halaman. Namun Bai cuba sedaya upaya sembunyikan kesayuan dan ‘mood’ raya yang dah ke laut supaya anak-anak tetap gembira menyambut hari raya Haji tahun ini.

        Bai gagahkan juga buat ketupat daun palas. Bukannya Bai reti sangat. Rendang pokpek Mak yang tersangat sedap tu, sebelanga juga Bai buatkan untuk suami dan anak-anak. Kuah kacang dan nasi impit pun Bai buatkan, kek coklat dan kek pisang serta biskut coklat cip.

        Hari raya yang pertama, bila tiba tengahari mulalah anak-anak mengeluh tak tau nak buat apa dah. Makan-makan dan nonton TV. Orang kuarters ramai juga yang pulang ke kampung. Tinggal 2,3 buah rumah saja yang ada penghuni. Tak sampai tengahari dah habis bertandang ke rumah jiran-jiran yang sememangnya orang Perak..
 

        Jadi bila emak dan adik-adik semua bergembira di Terengganu, maka kami sekeluarga pun harus bergembiralah juga dengan cara kami sekeluarga. Jadi Bai memang dah merancang untuk menginap 2 hari asalnya di tanah tinggi Cameron Highland tersebut sejak 3 minggu sebelum Raya Haji iaitu sejak mak dah tetapkan nak ke Terengganu pada raya AidilFitri yang lalu. Namun cukuplah 1 hari di sana. Suatu kelainan jugakan..
 
 

        Kebetulan Bai ada sahabat baik yang menetap di sana kerana mengikut suaminya yang bertugas sebagai pegawai Felcra dan dia ada sebuah apartment homestay. Jadi Bai pun sewa apartmentnya di Greenhill Apartment, Tanah Rata. Memang seronok sebab pekan Tanah Rata tak jauh, kedai makan, kedai runcit , kedai souvenir dan sebagainya memang banyak. Boleh berjalan kaki jer ke sana, Cuma pergi turun bukit, balik kena naik bukit la hahaha…tapi dengan cuaca sejuk waktu malam, in shaa Allah tak terasa penat.
 
    
  
Di rumah tersebut, mempunyai 3 bilik tidur, 2 bilik air, TV dan alatan dapur seadanya. Ok dah tu.. Bai memang masak kat sana.  Sarapan pagi tu Bai sediakan nasi goreng telur dan sosej, telur separuh masak, nugget, roti dan koko crunch..siap untuk tapau sekali. Manalah tau, bila cuti-cuti ni pastilah ramai yang bercuti di Cameron Highland..sesak gila jalan! Nak makan pun mesti payah dan mahal. Bai bawa juga si Abot, tengok dia macam stress je di rumah tu. Sepanjang jalan Abot santai je sambil mengintai di luar tingkap kereta. Adakalanya ke depan ke belakang kereta..jemu kot.

Abot dah nak tido ni..dia cupp tempat ni awai lagi..
 
        Bila sampai rumah tu yang seronok tengok Abot. Teruja sangat-sangat, berlari ke sana ke mari..menyiasat, menghidu sana sini..hihi..bila kita nak ke bilik air, dia pun sama mengikut. Kucing bijak…! Dan agaknya cuaca sejuk, kakinya tak tahan agaknya. Kami pun berstoking, sebab kaki tak tahan sejuk..Lenguh pulak kaki..Kami bertolak dari rumah jam 12 tengahari dan Akibat kesesakan yang teruk, kami tiba jam 4.30 petang. Sepatutnya hanya 2 jam saja untuk tiba di sana..huhu..

 
 
Bilik Utama  Beserta Bilik Air
 
 
 Bilik Kedua - 1 Katil Double & 1 Katil Single
 
 Bilik Ketiga
 
Dapur & Tandas 
 
 
        Panjang pulak celoteh Bai kali ini..hmm..apapun memang seronok bercuti bersama famili. Dalam hati teringin nak bawa mak ke sana..
 
 

 
 
 
 
 
Jumpa Lagi..
 
 
 






 

 

Rabu, 23 September 2015

Kek Pisang Emas


Assalamualaikum..

 
 
        Kek Pisang ..memang kegemaran kami sekeluarga. Semasa mencari daun palas untuk raya Haji esok di pasar malam Seri Iskandar, Bai terjumpa orang menjual pisang. Macam-macam jenis pisang ada dijual. Mata Bai tertancap pisang emas comel-comel tersusun cantik. Belilah seikat..boleh dibuat kek kalau rajin, kalau malas boleh buat cekodok pisang. Hari raya AidilAdha nanti banyaklah hidangan..Kek pisang ni sangat gebu. Memang puas hati dengan rasa dan tekstur kek ni.

 

KEK PISANG EMAS

By : Baizura TMB

 
Bahan-bahan

  • 3 1/2 cawan tepung gandum
  • 1 1/4 cawan gula caster
  • 1 1/4 cawan planta
  • 5-8 biji pisang emas ( lebih kurang 1 cawan)
  • 1 sudu kecil esen pisang
  • 1 sudu kecil soda bicabonate
  • 5 biji telur
  • 2 sudu makan susu pekat manis
  • 1 sudu makan air limau nipis

Cara-cara

1.   Ayak tepung bersama serbuk penaik dan ketepikan.

2.  Pukul planta bersama gula sehingga sebati kemudian masukkan telur satu persatu. Pukul lagi sehingga sebati.

3.   Masukkan susu pekat manis. Gaul sehingga sebati. Masukkan pula pisang yang telah dilecek berserta esen pisang dan air limau nipis. Pukul pelahan-lahan sehingga rata.

4.   Dengan mengunakan senduk kayu, gaul rata tepung yang telah di ayak bersama serbuk penaik tadi, sedikit demi sedikit sehingga habis.

5.   Panaskan oven pada suhu 170' C api atas bawah.

6.    Masukkan adunan ke dalam acuan berukuran 8x8 inci ( adunan penuh) kalau loyang 9x9 inci ( kek sedang elok) bakar kek selama 1 jam atau sehingga masak.

 


 

Selasa, 22 September 2015

Chewy Choc Chips Cookies Lagi..


Assalamualaikum..

 
 


Semalam bai buat lagi biskut chewy chocolate chips lagi..i did it again !..hehe..lusa raya, dan kami tak balik ke kampung seperti biasa. Hari ni pun masih bekerja. Jadi dalam mencari kesempatan masa untuk membuat persediaan serba sedikit untuk aidiladha..kugagahkan jua  buat biskut dan kek coklat moist. Petang ni lepas balik kerja,nak pegi cari daun palas kat pasar malam. Mudah-mudahan adalah..baru terasa nak beraya..hehe.
 
 

Jom tengok resepi yang bai kongsikan dari dapur kak Azlita. Terima Kasih ye kak Azlita. Memang betul kata kak Azlita..kami sekeluarga memang suka gila biskut kenyal ni..

 
CHEWY CHOC CHIP COOKIES
Resepi Oleh : Tengku Marceline Tengku Finn
Rujukkan :  Azlita Masam Manis
Oleh : Baizura

  

115 gm butter tanpa garam
120 gm ( 1/2 cawan ) gula halus putih
90 gm ( 1/2 cawan ) gula perang

1 biji telur gred A
1 sudu teh esen Vanilla
200 gm ( 1 1/4 cawan) tepung gandum
1 sudu besar tepung jagung
1/2 sudu teh baking powder
1/2 sudu teh garam
300 gm (1 1/2 cawan) choc cip
Sedikit coklat butang untuk hiasan ~ jika suka
 

 

Mula-mula anda satukan tepung gandum, baking powder dan garam halus dan ayak

Dalam bekas adunan, satukan butter , gula putih halus dan gula perang. Kemudian gaul rata . dengan senduk kayu atau wisk sahaja. Jangan adun atau pukul lama sangat ya, sekadar ia bergaul sebati aje. Kemudian masukkan telur dan vanilla. Adun rata


Masukkan bahan kering yang telah kita ayak tadi dan gaul rata. Kemudian masukkan choc cip dan adun sempurna

Sediakan Loyang. Dengan menggunakan scoop ice cream anda scoop ke atas tray atau dulang pembakar tadi. Jarak-jarakkan kerana adunan akan mengembang. Letakkan hiasan choc cip atau choc button di atasnya. Simpan dalam peti ais selama 1 jam sebelum di bakar


Panaskan oven dengan suhu 180C. Bai guna suhu 170C. Oven perlu di panaskan 15 minit awal sebelum memasukkan adunan cookies. Bakar selama 15 ~ 18 minit

Azlita masam manis bakar 15 minit sahaja. Jika anda suka ia sedikit rangup bakar dalam 18 minit - 20 minit.

Tapi bagi anda yang suka ia chewy dan lembab-lembab di dalam bakar 15 minit dah memadai


 Baki adunan yang anda tak nak bakar boleh simpan dalam bekas kedap udara dan simpan dalam peti ais dekat chiller aje ya bukan tempat beku. Bila teringin nak makan, keluarkan sekejap dan bakar
 

 Kali ini Bai buat dua adunan dan saiz kecil sikit daripada yang lalu. Dapat banyak la juga.
 

 Bai nak ucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada semua yang menyinggah ke dapur Bai yang tak seberapa ini. Moga kita dapat bersiaran di waktu akan datang.
 

Sabtu, 19 September 2015

Chewy Choc Chip Cookies Sedap


 
Assalamualaikum..

 
Cuti sekolah dah bermula..bila kita bekerja, habis kecah dapur di rumah. Samalah juga bila kita bercuti hujung minggu, asyik nak makan jer kerjanya.. Bai memang kena pastikan jajan-jajan secukupnya dirumah.

 
 
        Bila tengok di dapur blog kak Azlita Masam Manis, ada idea nak buat biskut dan kek untuk sarapan dan minum petang ..juga utk makan ringan lewat malam..keluarga Bai ni tak ramai, tapi bila makan, macam ada 10 orang.

        Biskut kak Azlita Nampak menariklah baru-baru ini. Buat hati teruja nak mencuba resepi baru tu..thanks kak Azlita. Bai buat dalam keadaan bahan apa yang ada sajalah..coklat butang jer pun yang tak ada..bahan yang penting memang ada.. hihi
 
 

        Memang semerbak wangi biskut ni sampaikan orang tingkat atas turun nak siasat apakah gerangan harum semerbak tu..hihi..memang tak tahann..!


 

lepas ni Bai nak cuba buat kecil sedikit daripada yang ni..
 
         Gambar Bai memang kurang cantik sikit sebab guna kamera smartfon je..walaupun tak cantik, namun rasanya sedap dan tak boleh berhenti makan..cicah pula dengan susu segar  , milo atau Nescafe..fullamak!! hmm tak boleh taip dah ni..duk teringat ke biskut ni..bye..!
 
 

 

 

Sabtu, 12 September 2015

Pajeri Terung


Assalamualaikum..

 

         Baru-baru ini Bai ke pasar dan ternampak terung segar dijual terus teringat nak buat pajeri terung. Bai dan suami memang peminat tegar pajeri terung. Arwah tok Bai memang pandai masak macam-macam pajeri. Memang bertambahlah nasi berpinggan-pinggan.

         Biasanya pajeri ni menggunakan rempah kari daging dan kerisik serta buah-buahan dan sayuran seperti nenas, terung, amra a.k.a kedondong, rebung dan mempelam. Mungkin ada lagi namun Bai pernah makan seperti yang Bai sebutkan tadi je. Nak bagi sedap kena tambah udang kering dan udang hidup. Perghhh..menelan air liur dah ni..hehe
 
 
PAJERI TERUNG
Oleh : Baizura
 Bahan
  2 biji terung panjang – dibelah dua bahagian dan dibelah lagi tanpa putus
 
 5 ekor udang basah (agak-agak)
200 ml santan
200 ml air
2 sdbesar gula merah
Garam
gula
Bahan tumis– diracik halus
 1 labu bawang besar
 
2 ulas bawang putih
Sedikit halia
1 peket rempah kari daging
2 sdbesar kerisik
2sdbesar udang kering
1-2 kulit kayu manis
1 bunga lawang
1 bunga cengkih
Cara-cara
1.     Tumis bawang dan halia hingga kekuningan, masukkan bunga lawang, bunga cengkih dan kulit kayu manis serta rempah kari.
2.    Masak hingga naik minyak dan tuang air sikit agar tidak hangus.
3.    Masukkan kerisik, gula merah, udang kering dan udang basah sekejap dan masukkan terung. Gaul sebati.
4.   Tuangkan santan dan kacau rata. Jika agak pekat sangat masukkan air sedikit demi sedikit hingga menepati citarasa .. jangan lupa masukkan garam dan gula untuk rasa.
5.    Kuah pajeri kena pekat sedikit dan ia bersalut pada terung. Gula merah tadi membantu supaya kuah jadi merah dan wangi.
 
 
Hidangkan bersama nasik panas dan ikan goreng..fuhh


 
 
 
 

 

Selasa, 1 September 2015

Kuih Lapis Mudah


Assalamualaikum..

 



         Kuih Lapis putih merah ni memang menjadi feberet Bai dan anak-anak. Dari kecik sampailah ke besar suka makan kuih ni. Bai suka makan selapis demi selapis. Anak-anak pun rupanya mengikut jejak mamanya, makan selapis demi selapis.hehehe..

         Bai dapat resepi ni daripada FB. Koleksi kuih muih tradisional. Share atas share sampai Bai pun terlupa nak letak namanya. Mohon halalkan jelah resepi ini. Moga hidup orang yang share resepinya kepada semua orang akan sentiasa diberkati Allah SWT.

 
 
 

Kuih Lapis

By : Baizura TMB

 

 

Bahan

1 ½ cawan tep.gandum

¼ cawan tep.beras

¼ cawan tep.jagung

½ cawan gula pasir

4 ½ - 5 cawan santan

2 sdteh garam

5 sdbesar Sirap merah ros - (agak2)

 

Cara-cara

1.   Panaskan kukusan.sapukan Loyang dengan sedikit minyak. Masukkan Loyang dalam kukusan. Bai gunakan bekas plastik seperti dalam gambar saiz 6 x 6 inci.

2.   Campurkan kesemua bahan kecuali sirap ros.

3.   Tapiskan dan bahagikan adunan kepada 2 bahagian. 1 bahagian sirap ros dan 1 bahagian tanpa warna.

4.   Mulakan lapisan bawah dengan warna putih 1 cawan.

5.   Kukus selama 6-8 minit hingga masak baru lapiskan dengan lapisan seterusnya hingga habis.

6.   Sejukkan dan potong untuk dihidangkan.
 
 

          Kuih ni sesuai dihidangkan untuk minum petang dan sarapan pagi. Gambar ni agak tak senonoh sikit sebab anak-anak dah tak sabar nak makan kuih lapis kegemaran mereka…hehe..maafkan lah mereka..