Celoteh

Teratak Manis Baizura

Rabu, 27 Mei 2015

Kek Anniversaryku


ASSALAMUALAIKUM…
 

 
         Entri kali ini adalah tentang kek anniversary Bai dan suami yang ke 15 tahun. Pejam celik, pejam celik dah 15 tahun kami berkahwin dan menempuh segala macam onak duri dan ujian. Adakala sedih dan gembira, duka dan bahagia. Datang silih berganti. Bila dah berumur ni memang menuntut kesabaran yang tinggi. Anak-anak pun macam-macam pe’elnya.

         Anak-anak datang bisik..’mama nak buat kek apa anniversary ni?..adik nak cadang kat mama buat kek coklat moist, abah n kita orang pun suka’..hehe..memang semua suka makan kek coklat moist..kebetulan hanya tinggal 2 hari nak pulang bercuti sekolah di kampung. Ayah mertua dan adik-adik ipar sangat gemar kek ni..

         Biasa-biasa je dekorasi kek coklat moist ni..bukan apa, ramai yang tak suka makan krim..tapi dah kek hari istimewa ini, Bai buatkanlah agar nampak istimewa berbunga-bunga…
 

 

Abang..

Selamat Hari Ulangtahun Perkahwinan kita yang ke 15

Semoga dipanjangkan jodoh dan berkekalan hingga ke Jannah

Terima Kasih kerana sudi menerima kekurangan diri ini,
 
 menyayangi dan memahami diri ini,
 
 sentiasa menjadi sahabat, sentiasa bersama suka dan duka..

Bertemu denganmu adalah suatu takdir..

Menjadi temanmu adalah pilihanku..

 Namun.. jatuh cinta dengan mu.. itu di luar kemampuanku

Kata yang simple adalah I

Kata yang indah adalah LOVE

dan kesayanganku adalah YOU

That’s why I LOVE YOU..!

27.05.2000

 


 

 

Isnin, 25 Mei 2015

Tat Nenas Sedap


ASSALAMUALAIKUM…

 

          Tat Nenas datang lagi ..ini pun kegemaran seisi keluarga..tapi sesiapa yang nak tempah juga boleh berbuat demikian. Sebalang  50 biji RM25.00.
 

 

Whatsapp : 012-5980060

Facebook Page:  Teratak Manis Baizura

Instagram       : Baizuraisma

Ahad, 24 Mei 2015

Biskut Nestum Rangup


ASSALAMUALAIKUM…

 
         Biskut Nestum ni memang sangat sedap dan rangup. Bai sering buatkan dalam bekas untuk kudapan depan TV atau bila-bila terluang. Anank-anak dan suami sangat suka makan biskut nestum ni. Bai teringat masa hari raya zaman anak dara dulu ada dikunjungi oleh mak-mak dan bapa-bapa saudara dari sebelah Batu Gajah,Perak (sebelah ayah Bai) ke Perlis. Banyaklah kuih raya yang dibawa bersama termasuklah biskut nestum ni. Bai ambil resepi daripada makngah kerana rasanya sangat sedap.

         Masa tu zaman Bai, hanya kuih-kuih biasa seperti semperit , bahulu, biskut kacang, biskut suji, makmur, kuih karas, kuih bangkit, rempeyek, putu kacang, kuih ros, biskut batang buruk, dodol dan kuih siput. Ada banyak lagi kuih tradisional yang belum Bai sebutkan. Namun sebahagian senarai di atas biasanya Bai ,Mak dan arwah Tuk Leha akan sediakan kuih-kuih tu lebih awal dan disimpan dalam tin besar.

         Zaman dah berubah…namun Bai masih membuat sendiri biskut raya untuk anak-anak terutama biskut samperit bunga, biskut cornflake, tat nenas dan biskut nestum. Biskut-biskut yang lebih mudah dan cepat. Bahulu biasanya memang kena ada, Bai beli je atau tempah di kios bahulu panas dan sebagainya.

         Bulan Ramadhan hampir menjelma, sesiapa yang belum ganti puasa tu eloklah berbuat demikian. Bai dalam 2, 3 tahun kebelakangan ini memang ada mencuba untuk pasarkan biskut-biskut di pejabat dan di sekitarnya. Namun agak bimbang tak dapat siapkan biskut-biskut tempahan tu semua kerana hanya Bai seorang sahaja yang bikin. Anak-anak ni adalah sekali dua menolong, lepas tu diorang cabut tinggal awak seorang terkontang kanteng!. Jadi, Bai ambil tempahan biskut sehingga 30Jun2015 bersamaan 13 Ramadhan. Jomlah negok biskut nestum evergreen Bai tu. Kalau nak tempah bolehlah :

Whatsapp : 012-5980060
Facebook Page:  Teratak Manis Baizura
Instagram       : Baizuraisma


 
 
 
Sebalang  50 biji RM25.00

Sabtu, 23 Mei 2015

Fruits Tart


ASSALAMUALAIKUM…

 
 
 

         Entri kali ini seperti biasa berkenaan dengan tempahan Fruits Tart @ Tat Buah-buahan oleh misi-misi di Klinik 1 Malaysia Seri Iskandar,Perak. Dah lama mereka tidak menempah, terasa juga kenapa mereka sepikan diri. Ada salah silap atau tidak puashatikah dengan tempahan..namun Bai percaya teguh dengan rezeki daripada Allah SWT.

         Nak dijadikan cerita, ibu jari kaki  kiri si Humairah tercabut akibat dihempap meja di sekolah KAFA Kg.Bali. Nak cuci luka tersebut kena pulak hari Ahad. Klinik Tronoh tutup, kena ke Klinik 1 Malaysia Seri Iskandar. Terjumpalah misi yang sering mengumpul order rakan-rakannya termasuk doktor di situ. Lama dia memerhatikan paras muka Bai hinggalah Bai tegur dia lama tak menempah tat dan kek daripada Bai. Barulah dia perasan dan terus memberitahu yang nombor telefon Bai hilang akibat telefonnya hilang. Ramai kawan-kawan termasuk doktornya nak menempah daripada Bai. Laa…awat dia tak cari dalam FB..hmm..tulah ya, pucuk dicita ulam mendatang..Alhamdulillah.

         Duk esok tu Bai terima SMS dan Whatsapp daripadanya yang nak mengoder 130 biji tat buah untuk hari sabtu pagi. Hari jumaat tu Bai ke Tesco nak beli buah fresh untuk tat buah, strawberi pulak tak ada. Bai cuma membeli kiwi dan anggur manis saja. Tiba-tiba dapat idea bila ternampak nenas madu yang pasti manis-manis masam gitu..apa salahnyakan..buah-buahan juga.
 
 

         Jenuh jugalah membuat kulit tat ni kerana Bai Cuma ada acuan sebanyak 30 unit je. Acuan ni Bai jumpa semasa pergi ke pasar serikin, Sarawak pada tahun 2011. Banyak juga loyang dan acuan kuih muih di jual di satu gerai tu. Ramai orang Indonesia yang menjual telur penyu di sana. Kalaulah kita terbeli telur penyu tu, bila waktu nak balik nanti pihak kastam akan kenakan denda pasa kita. So, tak payah la neli telur penyu tu, kita shopping benda lain pun banyak lagi. Beg kulit, telekung dan madcam-macam lagi.
 


 
         Acuan yang Bai beli ni bersaiz dasar 4.5cm. Jenuhlah bergentel nak buat kulit tat sampai sakit pinggang dan tengkuk. Hehe..cari juga acuan bersaiz tu tapi payah jumpalah pulak.

 
         Terima kasih kepada yang menempah.Moga puas hatilah..





 

Khamis, 21 Mei 2015

Kek Slice Black Forest


Assalamualaikum..

 

         Semalam Bai bercuti kecemasan. Saja je nak lepak di rumah. Rasa badan macam tak berapa nak sihat. Sampailah masa nak keluar ambil anak-anak balik sekolah. Rasa berkuranglah sikit..Si Humairah terus je menanya soalan “mama dah pegi ke klinik..? Agaknya bila melihat pakaian santai yang Bai pakai memberi isyarat bahawa mama dia bercuti hari ni..dan dia nampak Bai tak berapa sihat 3,4 hari lepas.. Bai senyum menyambutnya dalam kereta. Mulutnya tak berhenti bercerita tentang anak cikgu yang satu kelas dengannya tu kalau buat salah, maknya tak marah dan siap bela lagi kesalahan anaknya. Orang lainlah yang akan jadi mangsa…hishh..kalau nak ikutkan hati memang marah dengan sikap berat sebelah seorang guru kelas macamtu..tapi hati cepat-cepat mereda bila beristighfar..Allah swt kan ada..

         Cepat saja aku menasihatkan Humairah agar bersabar dan jangan cari pasal dengan anak-anak cikgu yang sekelas dengannya. Dalam hati memang ada rasa tak puas hati dengan sikap guru yang begitu. Setiap tahun ada saja cerita pasal anak-anak cikgu ni. Mentang-mentang la maknya guru di situ, naik tocanglah mereka. Nak mengadu pada siapa? Silap hari bulan, anak kita yang dipulaukan guru-guru. Bai cukup bimbang keadaan akan jadi begitu.

         Bai serah pada Allah, profesion ini memang menanggung amanah yang berat dan bukan calang-calang orang yang boleh menjadi guru. Semoga anak-anak Bai akan mendapat guru yang begitu peka dan bertanggungjawab mendidik mereka tanpa rasa prejudis.         Hmm..kita tinggalkan dulu hal itu..
 

         Petang tu hati rasa macam nak makan kek slice atau kek potong-potong. Tapi tak tau nak makan perisa apa sama ada kek span vanilla atau coklat. Akhirnya terjadilah kek black forest ala-ala cute gitu. Yang selebihnya bolehlah aku bawa ke pejabat, makan-makan dengan kawan-kawan. Jomlah tengok resepi. Bai halalkan sekiranya ada orang yang nak copy resepi..dan nak buat makan-makan atau jual. Tetapi janganlah gunakan gambar hasil usaha Bai untuk tujuan komersil. Bai biasanya akan menyatakan sumber rujukan dari mana resepi yang Bai perolehi dan berterima kasih kepada individu tersebut serta mendoakannya yang baik-baik. Kitakan kaya budi bahasa dan adat resam yang baik..


RESEPI  KEK  SLICE  BLACK  FOREST
Oleh : Baizura

 
Bahan (kek)
rujukan kak Azlita Aziz

 Sediakan kek span coklat 1 adunan yang dibakar dalam Loyang 10x10 inci segi empat. Kek ni kita nak dia nipis dan tidak tinggi seperti kek saiz 8 inci yang tinggi 3 inci tu. Sila rujuk Kek Span dalam teratak manis ni yer.

Bahan Krim lapisan

250ml fresh cream non dairy (putar hingga kental)

Blueberi pai filling secukupnya( yang ada ketul-ketul blueberi tu)

 
Hiasan

Coklat urai secukupnya
Ceri merah bertangkai (jika suka)

 
 

Cara membuatnya:

     1.     Setelah kek sejuk sepenuhnya, potong kepada 2 lapis. Letakkan
          selapis atas cake board.

2.    Sapu blueberi filling tu atas lapisan kek pertama dan lapiskan pula dengan freshcream

3.    Letakkan lapisan kek kedua dan lapiskan dengan freshcream

4.   Taburkan cokla urai dan sejukkan kek dalam fridge selama sejam @ lebih. Bila keras senang nak potong dengan pisai yang dicelupkan dalam air panas. Potongan akan kemas.

5.    Bila dah cukup keras, potong kek ikut ukuran yang disukai.

6.    Bila dah potong picitkan freshcream dan hiaskan dengan ceri merah setiap potongan. (Bai tak buat sebab kurang gemar buah ceri merah)

 
                                        Selamat Mencuba.

  

 

Selasa, 19 Mei 2015

Bunga Chrysanthemum @ Kekwa Buttercream


Assalamualaikum..

 

         Pertama sekali Bai nak ucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada kak Azlita Aziz di blognya Masam Masam Manis. Bai memang suka menjengah ke dapurnya yang memang cantik dan banyak menghasilkan kek-kek dan desert-desert yang molek, cantik dan lazat.

 
         Baru-baru ini kak Ita ade perturunkan ilmunya tentang tips membuat bunga kekwa @ chrysanthemum buttercream warna purple tu..awesome la kak Ita!! Bai pun nak mencuba juga membuat bunga kekwa kebetulan  ada kek yang dah assemble untuk dihiaskan. Namun taklah sekemas dan secantik sifu kita tu..hehe..bolehlah, ada juga rupa bunga kekwanya tu, Bai kena asahkan kemahiran lagi. Kata pepatah..’tak cuba belum tau’..’ practice makes better ‘.
 
 

         Di sini Bai juga nak mencatatkan pengalaman Bai sendiri untuk rujukan Bai sendiri dan juga anak-anak dan sahabat yang lain. Di bawah adalah resepi daripada kak Ita. Bai memang serasi dengan resepi ini jika nak buat bunga buttercream.
 
 
Resepi Buttercream untuk Bunga

Bahan

150 gm shortening
200 gm gula icing
perasa nenas atau strawberry yang tiada warna

 Cara-cara

Ayak gula icing. Satukan semua bahan dan pukul dengan speed perlahan hingga kental. Jangan pukul lama sangat nanti lembik. Lepas tu boleh bahagi-bahagikan untuk letak pewarna

 
         Kalau nak tahu krim dah ok, cuba ambil sikit dah tenyeh dengan jari untuk tahu buttercream dah halus untuk serap warna. Tapi jangan mix lama sangat, nanti lembik. Bai gunakan pewarna air. Untuk lebih cantik, lebih elok gunakan pewarna yang oil base.



Peralatan yang diperlukan:

Kertas minyak (baking sheet)- potong kecik2
Nozzle bunga kekwa no. 79 @ 80
Paku payung (nail) untuk bunga ros
Piping bag
Sarung tangan plastik
Buttercream secukupnya

 
Sediakan nozzle pada piping bag dan isi buttercream.

Calitkan sedikit buttercream pada nail untuk lekatkan kertas minyak alas untuk bunga.

 Buat bulatan untuk tanda besar mana saiz bunga kekwa yang kita nak  buat.

Mula menarik kelopak kekwa yang akan jadi bahagian bawah bunga. Masa tarik tu melengkung ke atas.

Buat lapisan ke dua hinggalah ke bahagian atas sekali.

Simpankan bunga kekwa dalam fridge. Senang kita nak letakkan atas kek nanti. Ini cara untuk orang yang belum pandai deko terus atas kek. Bai senang sekali dengan cara ni.

Kak Ita kata eloklah gunakan sarung tangan plastik untuk elakkan haba tangan kita mencairkan bunga yang beku semasa nak letak atas kek.

Kudup bunga kekwa tu Bai reka-reka je..sebenarnya ia atas kretiviti kita sendiri hasil pengamatan kita dengan flora dan fauna sekeliling kita.
   
  
Alhamdulillah.. Bai puas hatilah dengan hasilnya dengan ikut segala tips dari Kak Ita. Terima kasih Kak Ita.
 

Ahad, 17 Mei 2015

Kek Hari Guru 2015


Assalamualaikum..

 

         Selamat Hari Guru 2015…
 


         Sempena sambutan Hari guru 2015 pada hari Isnin di sekolah anak-anak, maka Bai pun berhasrat untuk menghadiahkan kek red velvet kepada guru-guru. Tahun ni sedikit berbeza kerana sebelum ini Bai cuma membeli souvenir untuk guru anak-anak. Setiap kali bawa ke sekolah , pasti saja ada yang hilang dan pasti ada guru-guru yang tak dapat hadiah. Balik dari sekolah sudah tentulah rebut bila si Humairah bercerita sambil menangis kesedihan. Kali ini Bai buatkan kek pula. Sudah pasti tak ada barang yang hilang. Dan sudah pasti semua guru-guru dapat merasa kek tersebut. Bai cuma belikan hadiah untuk guru kelas sahaja.
 


         Kek Red Velvet ni Bai salutkan dengan krim keju. Asalnya nak salutkan dengan freshcream. Tapi bila fikirkan cuaca sekolah yang panas, Bai terus tukar fikiran salautkan dengan krim keju. Cair memng cair, tapi sempatlah Pada pendapat Bai, krim keju ni memang sangat sesuai digandingkan dengan red velvet. Masam-masam manisnya tu memang sedap di tekak. Bai gunakan resepi sifu Bai iaitu kak Ashima Tarmizi. Terima kasih cikgu!..hehe..Kek ni memang moist gitu! Namun Bai akan simpankan resepi ini untuk kegunaan sendiri. Itulah antara janji Bai dengan sifu ni..

Kedua-duanya  atas dan bawah adalah Kek Red Velvet 8 Inci
 
 

         Anak-anak punyalah seronok bila tengok kek ni. Mesti cikgu-cikgu suka kata si Humairah dan Aishah. Kembang berbunga-bunga hati ni. Yelah, kita nak beri pada orang mestilah yang paling cantik dan sedap..
 

         Bai nak ambil kesempatan nak ucapkan ribuan terima kasih kepada guru-guru bakeri secara langsung dan yang tidak langsung iaitu Puan Ashima Tarmizi, Puan Azlita Aziz, Puan Nor Jannah &  Puan Nanie yang memberi tunjuk ajar secara online dan bersemuka.

         Kepada Guru-guru Tadika Kem Sg Udang, Melaka 1979, Guru-guru Sekolah Kebangsaan Kem Sg Udang darjah 1980-1981, Guru-guru Sekolah Kebangsaan Seri Tunjung, Perlis 1982-1985, Guru-guru Sekolah Menengah Keb. Agama (P) Kangar, Perlis 1986-1990, Guru-guru Sekolah Menengah Keb.Derma, Kangar 1991-1992, Pensyarah-pensyarah Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi ITM Shah Alam 1995-1998 dan Pensyarah-pensyarah Fakulti Sains Kemasyarakatan USM Pulau Pinang 2008-2012.

         Kepada kedua Emak dan Ayah yang banyak mendidik, mengasuh dan mengajarku erti kehidupan.

Semoga Allah Swt Merahmati Dan Memberkati 

Kehidupan

Kalian Dunia Dan Akhirat..

















                 

Rabu, 13 Mei 2015

SKON SEDAP...


Assalamualaikum..

 

         Hmm..hari-hari yang memenatkan…di pejabat dan di rumah..rasa ingin saja Bai lari daripada kekalutan ini. Kalaulah dapat bersantai di tempat dingin dan tenang..alangkah bahagianya.. sebelum selesaikan apa yang membuatkan Bai stress.
 

          Maka, biasalah makanan akan sentiasa memujuk hati. Dua tiga menjak ni duk teringin nak makan skon @ scone. Bai pernah makan di sebuah hotel di Kuala Lumpur semasa menghadiri bengkel di sana tahun lepas. Setiap kali bersarapan di restorannya, pasti ada skon. Itu je yang Bai makan selama di sana.

 
         Skon adalah merupakan kudapan yang sangat sesuai dinikmati ketika sarapan pagi dan minum petang. Tekstur skon ni seperti setengah biskut setengah kek setengah roti.. Bahagian dalam skon agak lembut dan kering. Bahagian luarnya agak rangup dan sedikit keras. Biasanya dalam bentuk bulat..namun mengikuti era kini, macam-macam jenis bentuk boleh dihasilkan tanpa mengubah rasa dan struktur skon. Merupakan makanan popular di Scotland, England dan Amerika.

         Menurut Wikipedia sejarah skon berasal dari Ireland, ia diperbuat daripada tepung gandum @ oat @ barli, gula, telur, mentega, susu dan paling penting ialah agen penaik (baking powder).  Makan panas-panas sangat digalakkan. Skon sangat sesuai dimakan dengan jem, madu, krim dan mentega tenusu…owhh heavenly!! Selain daripada bahan2 asas tadi, bahan2 sampingan boleh juga dicampurkan sekali bagi menambahkan keenakannya. Antaranya termasuklah kismis, kurma, almond, chip coklat, prune dan sebagainya. 

 
         Jomlah cuba..memang sedap. Wangi satu rumah baunya…

Bila dah masak, Bai belah tengah skon dan sapukan dengan butter dan jem strawberi…sarapan pagi itu terasa bagaikan berada di London pulak..huhu..terima kasih abang Mat Gebu untuk resepi skon ini. Bai tak letak kismis. Jadi skon asas saja..

 

RESEPI SKON

OLEH Che Mat Gebu

 

BAHAN-BAHANNYA :-)

 

100 gm mentega, dadu kecil dan sejukkan

2 cawan tepung berserbuk penaik (self-raising flour)

90 gram telur (guna 2 biji telur gred B, kacau dan timbang)

100 ml susu segar (kurang lebih)

1 camca teh esen vanilla

1/4 cawan gula kastor

1/2 cawan raisin atau kismis hitam ( nk skon kosong xpayah letak )

Sedikit tepung untuk ditabur

Mentega dan jem pilihan anda untuk dimakan bersama scones

 

CARA MEMBUATNYA :-)

 

1.        Panaskan oven pada suhu 190C. Masukkan tepung, gula kastor dan mentega sejuk dalam satu bekas, kemudian gaul ramas dengan hujung jari sehingga mendapat teksture seakan2 serbuk roti. Tuangkan ke atas meja kerja, tambah kismis hitam atau raisin dan gaul rata

 
2.       Buat lubang ditengah2 bancuhan. Masukkan telur dan esen vanilla, gaul rata. Kemudian masuk susu segar sedikit demi sedikit sambil digaul hingga menjadi doh yang lembut (jangan uli lama, setakat sebati sudah memadai). Tabur sedikit tepung dan canai doh setebal 2 cm dan terap dengan acuan pilihan anda (biasanya untuk scone, acuan yang digunakan jenis bulat dan bersaiz agak besar kurang lebih 3 inci). Alih atas dulang pembakar. Buat hingga siap.

 
3.       Bancuh baki telur dengan sedikit susu segar, kemudian gliskan atas scone tadi. Bakar hingga kuning keemasan dan permuakaan scone kelihatan merekah2. Sejukkan hingga suam atas jaringan dan hidangkan bersama mentega dan jem pilihan anda..
 
Tip:- kalau boleh dapatkan acuan terap yang agak tajam supaya semasa menekan doh, ia tidak terpenyek ikut acuan tadi. Barulah skon Nampak cantik.

 

        

Ahad, 10 Mei 2015

Nasi Ayam Mak Baq


Assalamualaikum..
 

          Hari ini Hari Ibu…semalam anak-anak duk sibuk sokseksoksek sesama mereka..nak hadiah apa pada mama ye..agaknyalah..hehe

         Pagi-pagi selepas subuh, Bai siapkan sejenis biskut untuk dihantar ke Langkawi. Adik Ipar Bai sungguh-sungguh minta Bai buatkan biskut contoh untuk hari raya nanti.

         Dalam duk sibuk-sibuk tu terfikir nak masak apa tengahari ni sempena hari ibu sedunia ni..terus terfikir nak buat nasi ayam resepi Mak. Anak-anak memang suka makan nasik ayam ni. Bai memang selalu buat nasi ayam ni bila hari cuti atau jika ada keluarga atau sahabat datang berkunjung ke rumah Bai.

         Resepi ini Bai perturunkan di sini, untuk anak-anak Bai juga. Manalah tau kalau Bai dah tiada, bolehlah mereka buatkan untuk abahnya…

RESEPI NASI AYAM MAK BAQ

Bahan Sup

4 ketul bahagian paha atas dan bawah (kalau dipotong boleh dapat 6 ketul)

1 labu bawang besar        

4 ulas bawang putih -   dipotong kasar

½ inci Halia    

2 biji cengkih

2 biji bunga lawang

1-2 kulit kayu manis

1-2 biji kentang

Karot dan batang saderi   -   secukup rasa

Daun bawang & daun Sup

Garam secukupnya

 
Cara

 
Basuh Ayam hingga bersih dan toreh-toreh isi ayam supaya masak di dalam dan selepas itu rebus ayam bersama 2 jenis bawang tadi, cengkih, bunga lawang dan kulit kayu manis hingga ayam masak.

Angkat ayam dan letakkan dalam plastik berzip dan letak tepi dulu. Sebelum masukkan garam,karot, ubi dan saderi, asingkan air rebusan untuk nasi. Sementara itu Bai sediakan nasi pula..

 
Bahan Nasi Ayam

 
3- 4 pot beras

3-4 sudubesar margerin

2 biji cengkih

2 biji bunga lawang

1-2 kulit kayu manis

½ suduteh halba

½ labu bawang besar      

2-3 ulas bawang putih       -     dirincik halus

½ inci halia

Sedikit serbuk kunyit untuk warna

Air rebusan ayam secukupnya

Sedikit garam

 
Cara

Basuh beras dan toskan. Cairkan margerin di atas dapur gas untuk  tumiskan bawang halia, kulit kayu manis, cengkih, bunga lawang dan halba hingga naik bau dan kekuninggan. Masukkan beras, goreng sebentar. Masukkan air rebusan ayam dan serbuk kunyit dan masakkan nasi atas dapur letrik..air rebusan tu kena sukat seperti nak masak nasi putih biasa. Jangan terlebih air, nanti nasi terlembik pulak. Dah masak, taburkan daun bawang & daun sup..wahh..terbau-bau kewangiannya…

Bahan Untuk Ayam

4 bahagian paha Ayam yang telah direbus

½ labu bawang besar

3 ulas bawang  putih                

½ inci halia

4-5 sudubesar kicap manis masin – agak-agak jer

3 sudu besar sos lada hitam

2 sudu besar sos tiram

 
Cara

 
Masukkan ayam, bawang dan semua perencah ke dalam beg plastik berzip dan goncang dan ramas-ramas sikit ayam supaya mesra dan rata. Peram dalam 10-20 minit gitu. Sementara itu Bai buat kuah cili pula..

 
Bahan Kuah Cili

 
3-4 biji cili merah besar - buang biji dan potong kasar

2-3 sudubesar cuka makan

4-5 ulas bawang putih

2 sudubesar gula – secukup rasa

Sedikit garam

Sedikit air rebusan ayam untuk blend

 
Blend semua hingga hancur dan rasakan  untuk secukup rasa, jika kurang boleh tambah lagi apa yang kurang. Bai suka masak main agak-agak jer..hehe.. pastu bolehlah gorengkan ayam macam biasa. Sekejap je tau untuk dapatkan warna perang di kulit ayam.

 
Bahan Sos Kicap

 
Bila dah gorengkan ayam tadi, kuah peraman ayam jangan dibuang. Tambahkan kicap lagi dan masakkan atas api sederhana hingga mendidih dan tapis kuah kicap tadi dan taburlah daun bawang & daun sup sebagai hiasan.

Bahan Hiasan dan Ulaman

1-2 biji tomato
1 biji timun
1 jambak salad @ butter lettuce
Daun Bawang dan daun Sup secukup rasa

Potong tomato dan timun ini dan bersihkan pelepah-pelepah sayur salad tadi dan susun atas pinggan ikut suka anda..daun bawang dan sup tadi boleh di potong halus untuk di tabur di atas nasi, sup dan ayam ..

 
  



          Bolehlah hidangkan di meja makan..wallah..berlari-lari anak kuda ..anak-anak Bai ke meja makan..jomlah try..

 
           Di sini Bai nak ambil kesempatan untuk mengucapkan selamat Hari Ibu untuk Mak Bai dan juga kepada semua ibu yang singgah ke dapur Teratak Manis Baizura ini ..