Celoteh

Teratak Manis Baizura

Ahad, 3 Mei 2015

Jeruk Mempelam Sala


Assalamualaikum..

        
         Alhamdulillah.. suami bawak balik buah mempelam sala dari kampung Bai di Perlis. Musim sekarang ni musim Mempelam Harum Manis..seperti tahun yang sudah-sudah tu..sekotak buah mempelam dari kampung mesti mak sertakan. Malangnya Bai tak dapat pulang ke kampung kerana bekerja. Hanya suami dan dua anak Bai saja yang pulang.

         Semua tujuh biji mempelam sala yang ada…mulanya nak mengkerubukan pelam tu tapi di rumah ni tak ada siapa yang gemar..nak beri kawan-kawan, masing-masing di ulit cuti yang panjang..jadi, Bai terfikir nak buat jeruk mempelam sala yang trendy pada masa kini.

         Best jugak layan jeruk ni, taklah berapa nak ngilu gigi makan benda masam macam ni..




Resepi Jeruk Mempelam Sala

Bahan

4-5 Biji Buah Pelam Sala (sedang-sedang saiznya)

2 Cawan Gula Kasar

10 Biji Cili Padi ( Ikut kepedasan masing-masing)

25-30 Biji Asam Boi

1 Biji Limau Nipis (hiris nipis)

1-2 sudu besar air kapur makan

Cara

1.     Kupas kulit buah pelam dan potong bentuk jejari ( ikut suka)

2.    Basuh dan rendam dengan air kapur selama 30 minit untuk rangupkan buah. Ini cara orang lama untuk rangupkan buah yang dijerukkan. Mak Bai selalu buatkan jeruk bila tiba musim mempelam.

3.    Bilaskan buah dengan air bersih dan toskan.

4.   Gaulkan dengan gula kasar, selepas itu hiris nipis-nipis cili padi dan gaulkan bersama asam boi dan limau nipis tadi hingga serata buah.

5.    Simpankan dalam bekas bertutup dalam peti ais selama 5 jam sebelum dimakan sejuk.

6.    Jangan di tambah air tau kerana jeruk ni akan mengeluarkan airnya sendiri. Jeruk memang tahan lama dan tetap rangup .

        
         Kalau dulu mak Bai masak air garam hingga suam. Buah mempelam dipotong dan direndam air kapur setengah jam, ditos  dan dibilas buahnya. Selepas itu dituangkan buah pelam berkulit ke dalam bekas yang berisi air garam suam dan direndam semalaman. Keesokkannya, buah ditoskan dan digaul dengan gula kasar. Esok baru boleh dimakan dengan segala rasa masam, masin dan manis yang cukup. Musim buah pelam di Perlis memang berlambak-lambak buahnya. Orang yang rajin, boleh buat macam-macam supaya buah pelam tidak terbazir sahaja. Ada yang buat acar buah campurkan buah pelam, selain jeruk, keringkan buat halwa pelam dan sebagainya. Mak Bai salah seorang yang kreatif dalam mencari duit tambahan untuk belanja Bai dan adik-adik bersekolah. Jeruk ni Bai selalu pekkan dalam plastik dan jual pada kawan-kawan sekolah.
 
 
         Sekarang cara membuat jeruk semakin mudah dan tahan lama. Tak begitu renyah dan senang buat jika ada semua bahan-bahannya. Kalau dahulu, tak perlu guna bahan-bahan awet yang berbahaya. Cukup sekadar menggunakan gula dan garam dalam proses jeruk secara tradisional untuk seisi keluarga.  Kalau ada buah mempelam muda di rumah anda, bolehlah mencuba resepi ini.

Tiada ulasan: